“Akan kami tunjukkan
kepada mereka bukti-bukti kebenaran kami di segenap penjuru dan pada diri
mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar”.
[al-Fussilat: 53].
Pernahkan kita
mendengar bahawa ilmu sains adalah sebuah cabang ilmu yang tidak sepatutnya
dipelajari kerana ianya kononnya diajarkan oleh para saintis yang kafir, dan
tidak membawa apa-apa manfaat kepada keimanan dan ketaqwaan kita? Namun sebenarnya, ilmu sains adalah sebuah cabang
ilmu yang merupakan fardhu kifayah. Kata Imam Syafie, “Selepas ilmu halal dan
haram, aku tidak tahu apakah ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu perubatan”. Kemuliaan
itu datang apabila ilmu itu membawa kita kepada Pencipta kita.
Akal manusia adalah sangat
terbatas. Ia memerlukan bantuan tambahan untuk menjadi lebih mapan. Dari dalam
sebuah bilik yang tertutup, kita tidak mampu membayangkan apa yang terjadi di
luar rumah kita, melainkan ada dipasan cctv dan ditayangkan di dalam bilik
kita. Kita tidak mampu melihat dengan jelas segala bintang dan planet di
angkasa lepas, tanpa bantuan teleskop, satelit dan sebagainya. Begitu jugalah
lemahnya akal kita dalam mencari Tuhan. Ia memerlukan bantuan wahyu iaitu
al-Quran dan Sunnah sebagai tunjang, dan dibantu ilmu-ilmu lain seperti ilmu
Sains sebagai cabang.
Para saintis dan
golongan Atheis (golongan yang tidak percayakan Tuhan) sering berpegang kepada
hujah bahawa Tuhan itu tidak ada kerana kita tidak boleh nampak Tuhan.
Persoalannya, mana mungkin kita, manusia yang kerdil ini, mampu untuk melihat
Allah, tuhan kita yang Maha Besar dan Maha Berkuasa, bagaikan seekor ulat
gonggok mahu melihat seluruh Bumi di hadapan matanya! Malahan, banyak
perkara-perkara yang kita tidak nampak, tapi sebenarnya wujud. Contoh mudah,
udara. Mampukah mata kasar kita melihat udara dan komposisi-komposisinya?
Namun, bukankah angin itu mampu membuat kita berasa nyaman, dan mampu
meranapkan sebuah bangunan?
Terdapat banyak kejadian
di mana para saintis yang pada mulanya kafir, akhirnya memeluk islam kerana
mereka ‘menemui’ Allah dalam kajian-kajian mereka. Profesor Keith Moore,
penulis buku Clinical Anatomy, memeluk agama islam setelah terjumpa ayat
al-Quran yang menerangkan proses perkembangan janin di dalam rahim ibunya.
Tanpa pengetahuan tentang perkembangan janin, mana mungkin Profesor Keith Moore
mampu menghayati ayat al-Quran tersebut. Begitu juga Profesor Tajatat Tejaser
dari Thailand yang mengakui kebenaran islam apabila terjumpa ayat tentang deria
sakit pada kulit manusia. Penulis buku The Bible, The Quran and Science,
Profesor Maurice Bucaille juga menerima hidayah islam setelah terjumpa ayat
mengenai kematian Firaun yang ditenggelamkan dalam laut, di mana beribu-ribu
tahun kemudian barulah mumia mayat Firaun itu dijumpai dan disahkan mati kerana
tenggelam di dasar laut.
Terbukti, Sains dan Islam sebenarnya sama sekali tidak terpisah. Jadilah pengkaji ilmu Sains yang semakin mendekat dengan Tuhan. Kerana sebenarnya, Tuhan lebih saintifik!
Diolah dari buku karya Dr Farhan Hadi, "Tuhan Lebih Saintifik".
No comments:
Post a Comment